“CAREER CURIOUS” di MRSM Alor Gajah

Career Curious
MRSM Alor Gajah
20 – 21 April 2013

 “SAYA ingin menjadi kaunselor tetapi saya tidak mempunyai ciri-ciri yang diperlukan (untuk menjadi seorang kaunselor). Apa yang perlu saya lakukan?”

“Saya tak tahu nak jadi apa.”

“Saya tak tahu bidang apa yang perlu saya ceburi selepas SPM nanti.”

“Apakah kerjaya yang paling bagus untuk diceburi?”

 Persoalan ini bukan perkara asing bagi pelajar, terutama yang bakal menduduki SPM, bakal menamatkan pengajian sekolah menengah. Bidang apa yang akan dipilih untuk meneruskan pengajian kelak? Apakah kerjaya idaman, universiti pilihan, di dalam atau luar negara, apakah kerjaya yang dipilih menjanjikan kemewahan, kesenangan? Bagaimana pula impian ibu bapa? Cita-cita ingin menjadi jurutera tetapi ibu bapa mahu anak menjadi doktor, impian siapa yang harus dipenuhi?

 Semua persoalan, kemusykilan ini sering berlegar dalam fikiran bakal lepasan sekolah, calon graduan.  Ada yang tahu apa yang ingin dicapai dan dikecapi dalam hidup tetapi tidak kurang yang masih tidak tahu hala tuju, kabur dengan keinginan, kekuatan serta kelebihan diri.

 group photo 2

Pada 20 dan 21 April lalu, seramai 360 pelajar Tingkatan Empat dan Lima MRSM Alor Gajah, Melaka, mengikuti program Career Curious, yang dianjurkan bekas pelajar MRSM Seremban, Angkatan 80-84. Hampir 45 abang, kakak atau mungkin lebih tepat, pakcik dan makcik, meluangkan masa selama dua hari bersama-sama pelajar ini dalam usaha memberi mereka maklumat mengenai cabang kerjaya, kerjaya yang boleh diceburi dan yang lebih penting berkongsi pengalaman dunia belajar, pekerjaan dan kejayaan yang mereka capai sekali gus memberi pelajar ini gambaran lebih jelas apa yang perlu dilakukan apabila tamat persekolahan kelak.

 “Apakah kerjaya paling bagus dalam dunia? Benda yang kita minat, seronok melakukannya dan dibayar untuk melakukannya,” kata Dr Zaidi Omar Mahda.

 “Katakan kita minat main bola, teruskanlah main bola dan pasti lebih seronok, apabila kita dibayar…dengan lumayan untuk main bola. Begitu juga dengan kerjaya yang ingin kita ceburi. Apa kerja yang kita minat? Apa kerja yang kita rasa kita akan seronok lakukan sehingga kita mati, katakan dalam tempoh 40, 50 tahun? Teruskan usaha untuk mencapai impian itu dan dapat bayaran yang bagus,” tambah Dr Zaidi.

 Apa yang penting, kata Dr Zaidi, harus bercita-cita tinggi dalam hidup, berusaha untuk capai cita-cita itu dan memenuhi impian.

 forum

Zulmuthi Mohd Samin juga memberi pendapat serupa.  “Buat apa yang kita minat dan abadikan hidup serta masa untuk mencapai cita-cita,” katanya.

Beliau berkongsi pengalamannya dengan pelajar MRSM Alor Gajah bagaimana kegagalannya melanjutkan pengajian ke luar negara selepas SPM (MCE ketika itu) seperti yang diimpikan tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus berusaha ke arah itu.

 “Saya fokus dan terus berusaha bagi memenuhi impian. Saya merancang perjalanan pengajian dan kerjaya untuk tetap ke luar negara…dan saya berjaya,” ceritanya bersemangat.

 Begitu juga kisahnya Abdul Hamid Hamat. Mengimpikan pengajian di luar negara tetapi keputusan peperiksaan bukan saja tidak melayakkannya untuk ke luar negara, malah tidak boleh juga meneruskan pengajian di universiti tempatan. Namun, cita-citanya untuk belajar di luar negara tidak pernah padam. Beliau meneruskan persekolahan di Tingkatan Enam dan kemudian memohon A-Level seterusnya ke luar negara.

 Jika tidak tahu apa yang kita minat, apa bidang yang ingin diceburi, tidak salah untuk mendapatkan pandangan `orang sekeliling’. Tanya ibu bapa, keluarga, rakan, apa personaliti kita, siapa kita, apa kelebihan juga kekurangan kita, kata Aziah Yunus.

“Kenal pasti diri dan apa yang kita suka. Semua maklumat ini, penilaian kita sendiri dan pandangan orang lain, kita analisis untuk benar-benar mengenali diri dan mengetahui kekuatan kita,” katanya.

 Namun, pelajar juga diingatkan supaya sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tidak semua yang diimpikan dan diusahakan akan berjalan lancar seperti yang dirancang, begitu juga dalam kerjaya, yang boleh dipengaruhi pelbagai faktor dari semasa ke semasa.

Peralihan dari MRSM ke universiti

Segelintir pelajar cemerlang ketika persekolahan gagal meneruskan pencapaian baik apabila melanjutkan pengajian di universiti. Mengapa ini berlaku? Apa yang perlu dilakukan?

 “Kehidupan di MRSM dan universiti amat berbeza.  Di MRSM, kita dikawal dengan pelbagai peraturan. Semuanya berjadual tetapi tidak di universiti. Kita bebas, tak ada siapa nak kawal dan ini boleh membuatkan kita hanyut. Teruskan disiplin dan pengurusan masa yang kita pelajari ketika di MRSM apabila di universiti kerana jika kita tidak berdisiplin, ia akan menimbulkan masalah kepada diri kita sendiri. Pengurusan masa amat penting.” – Zulmuthi

 “Paling penting apabila di universiti, kita perlu berdikari. Fahami apa yang dipelajari. Jangan ikut kawan-kawan atau ikuti kelas hanya kerana kawan. Kita perlu minat pada subjek atau bidang yang dipilih dan pada masa yang sama, ambil berat soal kehidupan serta masa depan. Perlu ada sasaran, kalau boleh tetapkan berapa CGPA yang kita nak capai setiap semester.” – Ashariah Badaruddin

 “Kita belajar menepati masa ketika di MRSM. Hormati waktu…ini amat penting. Dalam al-Quran pun ada menyebut mengenai masa.” – Rahim Ab Rahman

 “Pengurusan masa amat penting tapi bagaimana untuk menguruskan masa dengan betul. Tak guna kita buat jadual tetapi akhirnya kita sendiri tak dapat ikut (jadual). Pertama, sebelum kita menyusun jadual an masa, kita harus kenal pasti bagaimana kita menghabiskan masa setiap sehari, catat apa yang dilakukan setiap jam, setiap hari. Dari sini, kita akan tahu bagaimana, di mana masa kita dibazirkan dan selepas itu, baru kita dapat kenal pasti bagaimana untuk menguruskan masa sebaiknya.” – Dr Zaidi

 Menguasai Bahasa Inggeris

Seperkara lagi yang ditekankan kepada pelajar ialah kepentingan menguasai bahasa Inggeris. Dalam apa juga kerjaya yang hendak diceburi sama ada perubatan, kejuruteraan atau apa juga bidang,  penguasaan bahasa Inggeris yang baik adalah satu keperluan. Ini kerana kebanyakan buku teks dalam bahasa Inggeris dan dalam dunia pekerjaan, sebagai contoh kejuruteraan, kata Hamid, laporan atau kertas kerja yang hendak dibentangkan selalunya dalam bahasa Inggeris dan laporan yang baik (dengan bahasa yang bagus) seringkali memberi tanggapan yang hebat.

“Jika sekarang, bahasa Inggeris pelajar tidak bagus, inilah masanya untuk mengubahnya. Bahasa tidak boleh dipelajari, kita kena berkomunikasi, kena berlatih. Banyakkan menonton filem Inggeris, banyak membaca dan gunakan bahasa itu sekerap yang mungkin,” nasihat Dr Zaidi.

 Manfaatkan waktu cuti panjang selepas SPM untuk belajar bahasa Inggeris, pesan Faizatul Akmar. Banyak kurus bahasa Inggeris ditawarkan dan ikuti seberapa banyak kelas yang boleh, begitu juga jika ingin menguasai bahasa lain.

 Tamat dua hari berkampung di MRSM Alor Gajah, program ini berjaya mencapai matlamat iaitu menjelaskan pilihan kerjaya, pelajar dapat mengenal pasti kerjaya yang ingin diceburi dan menanam kesedaran dalam diri pelajar untuk berusaha keras bagi mengecapi kejayaan.

Ini diakui pelajar pada sesi rumusan. Mereka kini sudah mengenal pasti bidang kerjaya yang boleh diceburi, tahu cara atau langkah untuk mencapai kerjaya idaman serta faham bahawa kejayaan tidak datang bergolek, ia harus disertai minat dan usaha kuat.

token

 Bak kata Presiden ANSARA Seremban, Zainal Hisham Yusuf: “Kita adalah ejen perubahan untuk bangsa dan negara. Jika kita boleh bangunkan diri kita, kita boleh bangunkan negara. Kita mesti menyumbang balik kepada masyarakat.”

 Inilah yang dilakukan menerusi program Career Curious. Syabas buat semua yang menjayakan program murni ini.

About ansaraseremban
Alumni MRSM Seremban MRSM Seremban ditubuhkan tahun 1972. Ansara Seremban mempunyai 1800 ahli. Kini bernaung di bawah ANSARA dan bergerak sebagai cabang dikenali dengan ANSARA Seremban.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: